KEMENTERIAN Pariwisata  Indonesia menetapkan 10 destinasi yang dianggap sebagai ‘Bali Baru’ dalam usaha meningkatkan kedatangan Turis ke negara ini pada tahun ini.

Salah satu daripadanya ialah Tanjung Lesung di Kabupaten Pandeglang, Wilayah Banten, Indonesia yang terletak di Selat Sunda iaitu 160 kilometer dari Jakarta

Kawasan itu juga terletak berdekatan dengan Pulau Panaitan, Taman Nasional Ujung Kulon dan Gunung Krakatau yang pernah meletus pada tahun 1883 sehingga mengorbankan kira-kira 35,000 nyawa di sekitar Pulau Jawa serta Sumatera.

Tanjung Lesung merupakan kawasan pelancong yang menawarkan pelbagai aktiviti pantai dan taman laut.
Pemerintah Indonesia telah menetapkan Tanjung Lesung sebagai salah satu Kawasan Ekonomi Khusus (KEK) seluas 1,500 hektar.

Beberapa pelabur turut ditawarkan projek pembinaan padang golf, pusat beli-belah, taman tema, hospital dan tempat tinggal di kawasan berkenaan.

Baru-baru ini, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru yang diketuai oleh Zainul Idris Yunus bersama Kementerian Pelancongan Indonesia dan 15 ejen pelancongan dari Kuala Lumpur serta Johor Bahru telah berkunjung ke Tanjung Lesung serta beberapa destinasi terkenal di Jakarta.
Turut mengikuti rombongan itu ialah kumpulan media Malaysia.

“KJRI Johor Bahru berharap ejen-ejen pelancongan yang menyertai rombongan ini dapat melihat secara dekat tempat-tempat menarik di Tanjung Lesung dan mempromosikannya kepada pelanggan mereka.
“Ia secara tidak langsung dapat menggalakkan lagi kunjungan dan penambahan bilangan pelancong ke Indonesia terutamanya dari Johor Bahru, Melaka, Negeri Sembilan serta Pahang,” ujar Zainul Idris.

Pemilihan lokasi rombongan ke Jakarta dan Banten juga berkait rapat dengan pihak syarikat penerbangan AirAsia yang menyediakan laluan penerbangan secara terus dari Senai, Johor ke Lapangan Terbang Soekarno Hatta di Jakarta.

“Menerusi rombongan singkat ini, ejen pelancongan di Malaysia boleh bekerjasama dengan ejen di Jakarta dan Banten untuk menawarkan pakej menarik ke sana,” katanya.
Rombongan

BADAK sumbu antara haiwan yang terdapat di Taman Nasional Ujung Kulon.


Dalam rombongan itu, peserta telah transit semalaman di hotel berdekatan sebelum meneruskan perjalanan melalui beberapa kota di Jakarta dan menuju ke Tanjung Lesung menggunakan jalan di pinggir laut.
Rombongan sempat singgah di Menara Suar Cikoneng Anyer yang dibangunkan pada 1885 semasa zaman penjajahan Belanda di Indonesia.

Selepas itu, rombongan disambut oleh wakil Jabatan Pelancongan Banten di Hotel Aston sebelum singgah ke Pulau Kelapa di Kabupaten Pandeglang yang merupakan antara tempat wajib disinggahi pelancong.
“Jabatan Pelancongan Banten menyifatkan Tanjung Lesung sebagai salah satu destinasi utama yang perlu dilawati kerana ia boleh dianggap sebagai ‘syurga dunia’ berikutan terdapat pelbagai tarikan seperti Pantai Anyer dan Taman Nasional Ujung Kulon,” ujar Ketua Jabatan Pariwisata, Nuning Cahyati.

Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Pelancongan PT Banten Jawa Barat, Setiawan Mardjuki berkata, Tanjung Lesung merupakan destinasi pelancongan baharu dan Johor Bahru antara negeri di Malaysia yang terletak berdekatan dengan Indonesia.

Katanya lagi, Tanjung Lesung juga berdekatan dengan Jakarta, sekali gus menjadi salah satu faktor yang memudahkan pelancong untuk ke sana dengan jarak kira-kira 160 kilometer sahaja.
“Tanjung Lesung merupakan salah satu tempat menarik kerana air dan alam semula jadinya masih cantik,” kata Setiawan.

Dengan hanya dua jam perjalanan dari Jakarta, pelancong sudah boleh menikmati pemandangan indah yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata.

Setiawan berkata, untuk pergi ke Gunung Krakatau dan Taman Nasional Ujung Kulon, pengunjung perlu mengambil masa satu jam perjalanan dari pantai Tanjung Lesung menerusi jalan biasa atau lebuh raya.
Aktiviti

Taman Impian Jaya Ancol merupakan sebuah taman tema yang popular di Jakarta


“Bagaimanapun, perjalanan tidak akan membosankan kerana mereka boleh berhenti di beberapa tempat. Contohnya, di tengah-tengah kota Pandeglang, kita boleh lihat rumah zaman dahulu dan perusahaan batik di kawasan Serang,” ujarnya.

Menurut Setiawan, selama ini pelancong yang paling ramai datang ke Banten dari Korea Selatan, namun rakyat Malaysia belum ramai yang hadir.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki di Tanjung Lesung Beach Hotel, rombongan disambut dengan tarian ala Hawai dan pada waktu malam pula disajikan dengan tarian legenda Dewi Tanjung Lesung.

Pada keesokan harinya, rombongan dibawa menuju ke Beach Club dan menyeberang ke Taman Nasional Ujung Kulon.

Di Beach Club terdapat pelbagai kemudahan seperti permainan olahraga air dengan jet ski dan bot pisang selain basikal serta motosikal roda empat bagi mengelilingi pantai.

“Di kawasan ini juga mempunyai padang golf, vila dan taman bunga selain taman tema air yang sedang dalam perancangan untuk pembinaan,” kata Pengarah Besar Tanjung Lesung Beach Hotel, Widiasmanto.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Johor Bahru, Kathryn Lee berkata, ini kali kedua dia berpeluang mengikuti rombongan seperti itu.

“Kali pertama saya mengunjungi Yogyakarta. Secara peribadi, Tanjung Lesung amat menarik dan fantastik serta jauh berbeza dengan Jakarta serta Bandung.

“Ia amat sesuai untuk merehatkan minda dan bagi mereka yang ingin lari daripada hiruk-pikuk kesibukan bandar,” katanya.

Sheikh Ahmad Fauzi daripada syarikat BT Tune Holidays & Services Sdn. Bhd., pula memberitahu, Tanjung Lesung amat sesuai bagi individu yang ingin berbulan madu dan bersama keluarga.

“Pakej pelancongan ke Tanjung Lesung sesuai digabungkan dengan mengunjungi Jakarta.
“Menginap selama dua malam di Jakarta sambil membeli-belah dan kemudian ke Tanjung Lesung untuk melakukan pelbagai aktiviti pengembaraan,” katanya.